Kota Marudu Member of Parliament

Peranan IRENA Diperlukan Bagi Memastikan Negara Barat Beri Bantuan - Ongkili

KUALA LUMPUR - Malaysia mahu Agensi Antarabangsa Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (IRENA) memainkan peranan bagi memastikan negara barat memenuhi janji mereka untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada negara-negara membangun dalam mengurangkan perubahan iklim.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata terdapat keperluan bagi pelaksanaan Sumbangan Ditentukan Negara Seperti Yang Dihasratkan(INDC) untuk setiap negara bagi mengurangkan perlepasan Gas Rumah Hijau (GHG).

"Pihak barat perlu menyediakan sokongan yang diperlukan bagi membolehkan setiap negara melaksanakan INDC mereka. Tanpa bantuan ini, INDC tidak boleh ditukar kepada matlamat dan dasar-dasar untuk diguna pakai oleh negara-negara terbabit," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ongkili yang bercakap semasa mesyuarat meja bulat peringkat negeri sesi ke-6 perhimpunan IRENA selama dua hari yang berakhir semalam memberitahu Malaysia kesal kerana negara barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat, tidak memenuhi janji mereka.

INDC merupakan satu tindakan sukarela yang terbit selepas kesemua negara menandatangani Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) yang membawa kepada Persidangan Perubahan Iklim PBB 2015 di Paris (COP21).

Ongkili menyertai sesi bersama menteri-menteri mengenai "Selepas COP21 : Tindakan Bersepadu Ke Arah Perlaksanaan Tenaga Boleh Diperbaharui" dan sesi "Selepas COP21 : Pembiayaan Tenaga Boleh Diperbaharui -- Meningkatkan Pelaburan".

Malaysia telah menetapkan 'matlamat' untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG keluaran dalam negara kasar sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 berbanding dengan paras pada 2005.

"Malaysia setakat ini telah mencapai pengurangan sebanyak 33 peratus. Di bawah sasaran kami, 35 peratus sepatutnya dicapai tanpa syarat dan pengurangan 10 peratus lagi tertakluk kepada keadaan kewangan, pemindahan teknologi dan bantuan pembangunan kapasiti," katanya.

Katanya, bagaimanapun, kisah kejayaan Malaysia bukan tanpa cabaran dan kewangan menjadi cabaran yang utama.

"Tetapi dengan COP15, Malaysia telah mengakui bahawa perubahan iklim adalah benar-benar berlaku dan mula menetapkan sasaran pelepasan karbonnya.

"Sejak itu, kami meletakkan instrumen yang diperlukan bagi mengurangkan perubahan iklim dalam usaha untuk memastikan pembangunan kami berkekalan," katanya.

Ini termasuk Dasar Biobahan Api Negara (2006), Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui (2010), Akta Tenaga Boleh Diperbaharui dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011, manakala mekanisme Tarif Galakan diperkenalkan pada 2011, katanya.

"Dengan dasar dan langkah-langkah ini, tenaga boleh diperbaharui di Malaysia kini membentuk 24 peratus dalam jumlah kapasiti dan terdiri daripada 10.1 peratus penghasilan gabungan tenaga kami, termasuk hidro," katanya.

Malaysia juga komited untuk menyediakan RM4.6 bilion bagi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 2010-2017, katanya.

Di bawah skim ini, kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus daripada jumlah keseluruhan kadar faedah dan memberikan jaminan sebanyak 60 peratus ke atas jumlah pembiayaan melalui Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd, dengan baki 40 peratus ditanggung oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Ongkili juga menyatakan kepada mesyuarat itu bahawa inisiatif terbaru Malaysia melibatkan Pemeteran Tenaga Bersih serta pembangunan Solar PV Berskala Besar dengan sasaran 250MW setiap tahun untuk empat tahun akan datang.

Menteri dan delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari kementerian dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari dan Suruhanjaya Tenaga turut menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi dan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia 2016 yang akan berakhir pada 20 Jan 2016.

 

Sumber - Bernama