Kota Marudu Member of Parliament

Kerajaan Giat Tingkatkan Rizab Tenaga Elektrik Di Sabah

KOTA KINABALU - Kerajaan sedang berusaha menambah margin rizab tenaga elektrik Sabah kepada 25 peratus daripada antara enam dan lapan peratus ketika ini dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata dengan margin rizab 25 peratus, Sabah akan mampu mengurangkan sebarang kejadian terputus bekalan.

"Ketika ini, apabila berlaku gangguan bekalan, kita terpaksa melaksanakan catuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran perkampungan budaya di sini hari ini.

Dalam usaha mencapai sasaran itu, Ongkili berkata negeri tersebut memerlukan tambahan 400 Megawatt (MW).

Beliau berkata kabinet kerajaan pusat ketika ini sedang membuat saringan pemohon bagi kontrak pengendalian loji kuasa gas Sandakan, dan keputusannya dijangka pada bulan depan.

"Projek itu yang terdiri daripada loji dan saluran paip memerlukan tempoh kira-kira empat tahun untuk disiapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ongkili berkata kerajaan masih berbincang dengan Indonesia mengenai cadangan perdagangan tenaga rentas sempadan melibatkan Tawau, Sandakan dan Tarakan, sebuah pulau di wilayah Kalimantan Utara.

Beliau berkata cadangan itu adalah bagi membina loji tenaga arang batu 150-200 MW di Tarakan, yang tenaganya akan dieksport ke Tawau.

 

 

Sumber - Bernama