Kota Marudu Member of Parliament

Kota Marudu Berpotensi Jadi Pengeluar Utama pisang Saba Di Sabah - Dr Maximus

KOTA MARUDU - Daerah Kota Marudu berpotensi menjadi pengeluar utama spesies pisang tempatan dikenali sebagai Pisang Saba, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ongkili yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu dan pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kota Marudu (MP3) berkata daerah itu mempunyai banyak kawasan tanah yang belum diteroka yang boleh dimanfaatkan untuk tanaman Pisang Saba secara besar-besaran.

Susulan sambutan positif daripada petani tempatan, sekurang-kurangnya 1,000 ekar (405 hektar) tanah di daerah berkenaan akan ditanam dengan pokok Pisang Saba dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kota Marudu ialah daerah paling sesuai bagi tanaman Pisang Saba kerana ia memerlukan perhatian dan penjagaan yang minimum seperti air dan baja berbanding kelapa sawit," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata MP3 menyasarkan untuk menggalakkan petani di beberapa buah kampung termasuk Matunggong, Langkon, Tandek dan Teringai menanam Pisang Saba secara besar-besaran.

Ongkili berkata, setakat ini petani di 10 kampung telah mula menanam pokok Pisang Saba dan memperoleh keuntungan yang lumayan dengan Kampung Gorontung mempunyai ladang Pisang Saba yang terbesar iaitu 20 ekar (lapan hektar).

"Kira-kira 40 peratus daripada petani di Kota Marudu sekarang telah menanam Pisang Saba," kata beliau.

 

 

Sumber - Bernama