Kota Marudu Member of Parliament

Kapit berpotensi jadi peneraju teknologi hijau

KAPIT - Kapit, yang dikelilingi oleh hutan yang‎ menghijau, berpotensi untuk berkembang dan menjadi peneraju dalam teknologi hijau di Sarawak, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

"Gaya hidup hijau sudah dipupuk di kalangan penduduk di sini. Pengeluaran air yang dirawat untuk Kapit ialah 15 juta liter sehari (MLD) dan hanya kira-kira 10 MLD digunakan, kerana kebanyakan penduduk masih menggunakan air graviti untuk bekalan," kata beliau.

Ketika berucap pada pelancaran Program Jelajah Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) Sarawak di sini hari ini, beliau berkata permintaan tenaga bagi daerah itu ialah 7.2 Megawatt.

YaHijau ialah yayasan yang ditubuhkan untuk menggalakkan gaya hidup dan teknologi dalam usaha untuk menjadikannya sebagai cara hidup di kalangan rakyat Malaysia.

Ongkili kemudian menyampaikan cek RM1,000 masing-masing dari YaHijau kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit, SMK Kapit II, SK Kampung Baru Kapit, SK Methodist dan SK Kapit bagi penubuhan Program Pembangunan Laman Hijau di sekolah masing-masing.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pegawai Eksekutif YaHijau, Amin Abdullah.

 

Sumber - Bernama