Kota Marudu Member of Parliament

Pahang perlu guna Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang perlu merombak sistem bekalan air mentah negeri itu menerusi penggunaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 segera, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan bekalan air yang berkualiti dan berterusan di Pahang.

Kerajaan negeri juga harus semak semula tarif air untuk menampung kos operasi, sekali gus melonjak kualiti perkhidmatan untuk manfaat pengguna, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menitahkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius dan segera mengatasi masalah bekalan air di beberapa daerah di negeri itu.

Ongkili berkata, Pahang adalah antara tiga negeri yang masih belum melakukan migrasi ke akta itu, yang memperuntukkan mengenai kawalan selia perkhidmatan air, selain Selangor dan Melaka.     

"Kita akan terus mengambil tindakan yang perlu untuk membantu setiap negeri tersebut.     

"Perbincangan antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan kerajaan negeri juga akan diadakan, khususnya kerana masalah kekurangan bekalan kapasiti," katanya.      

Ongkili menegaskan tarif perlu disemak semula supaya selari dengan kos operasi.     

"Cuma ada segelintir kerajaan negeri yang tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang akan membebankan pengguna.

"Pahang tidak pernah menaikkan tarif air selama 33 tahun. Tapi dalam masa yang sama, mereka berhadapan dengan masalah kekurangan dana pengurusan  daripada kerajaan perseketuan," katanya.

Ongkili berkata, ini kerana kerajaan persekutuan tidak boleh memainkan peranan yang lebih luas di negeri itu sekiranya ia tidak menggunakan akta tersebut.

Source : Sinar Online