Kota Marudu Member of Parliament

Swasta Bangunkan Loji Geothermal Pertama Malaysia - Ongkili

TAWAU, 19 Mei (Bernama) -- Loji geothermal pertama Malaysia, yang akan beroperasi menjelang 2019 di Tawau, adalah projek sektor swasta yang dibangunkan Tawau Green Technology Sdn Bhd, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata memandangkan projek itu tidak melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan, pembangkang perlu berhenti mempersoal tentang loji itu termasuk yang berkaitan kos.

"Pembangkang tidak henti-henti bertanya mengapa projek itu mengalami kelewatan dan berapa perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan. Kenapa sibuk sangat mengenainya?

"Pemajunya telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan sekiranya projek itu mengalami kelewatan atau siap melangkaui tempoh dijadualkan, merekalah (pemaju) yang menanggung kerugian," katanya kepada pemberita di sini.

Loji tenaga elektrik di Apas Kiri itu, yang merupakan projek tenaga boleh diperbaharui dan lestari pertama di Malaysia, akan membekalkan 30MW kepada grid SESB.

Ongkili berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sebagai pengawal selia akan sentiasa memantau projek berkenaan kerana loji itu berpotensi meningkatkan bekalan tenaga elektrik di negeri ini.

"Kami komited untuk memastikan kejayaannya. Apabila loji itu beroperasi kelak, Malaysia akan menduduki tempat ketujuh di dunia dari segi penjanaan tenaga geothermal dan tarikan pelancongan," katanya.

-- BERNAMA

Source: bernama