Kota Marudu Member of Parliament

77 loji rawatan kumbahan RM52b akan dibina

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan akan membina 77 loji rawatan kumbahan bernilai RM52 bilion dalam tempoh sehingga 2040 bagi memelihara kualiti sumber air mentah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini ke­rana kerajaan memandang serius isu pencemaran dan kemerosotan kualiti air sungai yang kini menjadi cabaran utama di negara ini.

Najib berkata, terdapat tiga punca utama pencemaran su­ngai yang telah dikenal pasti iaitu buangan industri berasaskan pertanian dan pembuatan, kumbahan domestik dan aktiviti penternakan.



“Kerajaan memandang serius isu ini dan di bawah Pelan Strategi Pembetungan Negara adalah disasarkan bahawa sehingga 2040 sebanyak 77 loji dengan anggaran peruntukan berjumlah RM52 bilion akan dibina bagi terus memelihara kualiti sumber air negara.

“Sehingga kini, kerajaan telah membina sebanyak 46 buah loji rawatan kumbahan serantau di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Ra­watan Kumbahan Pantai 2 dan pembukaan Pantai Eco Park di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Projek bernilai RM983 juta itu menerapkan elemen teknologi hijau di dalam reka bentuk loji seperti penggunaan semula biogas bagi penjanaan tenaga elektrik dan pemanasan tangki pencernaan enap cemar, sistem solar dan kitar semula bagi kegunaan loji dan landskap.

Menurut Najib, hal ehwal pembangunan negara tidak hanya meliputi pembangunan makro seperti projek Transit Ali­ran Massa (MRT), pembinaan sekolah, hospital dan perumahan, sebaliknya kerajaan turut mengambil berat perkara pembangunan sehingga ke hal ehwal pembetungan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 dan Pantai Eco Park menjadi ikon pencapaian negara dalam menggunakan teknologi hijau yang setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Najib berkata, Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 itu adalah loji bawah tanah yang pertama di Malaysia dan merupakan loji terbesar di rantau Asia Pasifik.

“Melalui pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2, terbukti bahawa komitmen kerajaan bukan hanya retorik politik dalam memelihara kesejahte­raan rakyat dan alam sekitar. Adalah menjadi harapan saya agar projek seperti ini boleh dijadikan contoh untuk diperluaskan ke bandar-bandar lain”, katanya.


Source: utusan