Kota Marudu Member of Parliament

Sukan tradisi meriahkan Kaamatan

PENAMPANG: Pertandingan menumbuk padi, menjerat kerbau dan mengangkat guni padi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.

Aktiviti berkaitan penanaman padi itu yang dikenali sebagai tumutu, manungkava kalabau dan mamagandal dalam bahasa Kadazan adalah antara acara sukan tradisi yang dipertandingkan pada hari kemuncak Pesta Kaamatan yang berlangsung semalam dan hari ini.

Turut dipertandingkan ialah mipulos (gusti tangan), momolositik (melastik), rampanau (berjalan menggunakan galah), sipatu tompulalanggoi (selipar gergasi), migazat dukug (tarik tali), monopuk (menyumpit), mobpiri (menyalakan api) dan manandus (membujak).

Sukan tradisi adalah antara acara rasmi bagi memeriahkan sambutan Kaamatan selain persembahan kesenian, pameran rumah tradisi, kraftangan, hasil pertanian, alat kebudayaan dan pemilihan Unduk Ngadau atau ratu cantik Kaamatan. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya sempena perasmian acara berkenaan, berkata sukan tradisi berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pengunjung dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan negeri.

"Kita mempunyai banyak sukan tradisi dan rumah tradisional yang sangat unik dan menarik untuk diketengahkan, bukan saja sebagai warisan budaya, malah sebagai produk pelancongan yang menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun, usaha mempromosi dan mengembangkan keunikannya masih perlu dipertingkatkan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Dalam konteks ini, usaha perlu diambil semua pihak termasuk sektor swasta," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden KDCA dan Huguon Siou atau pemimpin agung Kadazandusun.

Yang turut hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang dan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Maleh.

Musa berkata, kerajaan negeri akan terus menggandakan usaha dan komitmen berterusan untuk memacu dan mempromosikan keunikan dan kekayaan warisan budaya negeri ini dengan sokongan semua pihak.

"Justeru itu, rakyat perlu terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam melestarikan khazanah budaya termasuk program kita pada hari ini (sambutan Kaamatan) agar tidak luput ditelan zaman," katanya.

Katanya, keamanan dan perpaduan bukan saja dipupuk melalui pendidikan di sekolah dan keluarga, malah dapat dikukuhkan melalui pembabitan dalam program kebudayaan seperti menerusi sambutan Kaamatan.

Source: bharian