Kota Marudu Member of Parliament

7,271.75 MW Tenaga Diperbaharui Dihasilkan Di Malaysia - Ongkili

KOTA KINABALU, 25 Jan (Bernama) -- Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata setakat ini, kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan daripada loji kuasa hidro besar termasuk tenaga boleh diperbaharui luar grid di seluruh negara adalah sebanyak 7,271.74 MW.

Beliau berkata jumlah tenaga yang dihasilkan itu adalah sebanyak 21.67 peratus daripada jumlah kapasiti elektrik yang terpasang di Malaysia pada masa kini.

"Daripada jumlah itu (7,271.74 MW), Sabah menyumbangkan sebanyak 407.8 MW iaitu bersamaan dengan 19.7 peratus daripada jumlah kapasiti elektrik yang terpasang di Sabah," katanya ketika berucap pada perasmian Konvensyen Tenaga Lestari 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pengarah Urusan SESB Abdul Razak Sallim dan kira-kira 200 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan di Sabah.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata kementerian memberi penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai sasaran pembebasan gas rumah hijau yang telah disasarkan negara dalam Perjanjian Perubahan Iklim Paris 2015.

"Usaha yang padu perlu dilakukan untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau dalam sektor tenaga di negara ini, yang merupakan penyumbang terbesar, iaitu sebanyak 76 peratus daripada jumlah keseluruhan pembebasan gas rumah hijau melalui pembakaran bahan api fosil," katanya.

Beliau berkata antara langkah mitigasi yang dilakukan adalah dengan meningkatkan penjanaan elektrik melalui sumber tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penjanaan elektrik daripada bahan api fosil konvensional.

Sementara itu, Ongkili berkata usaha SESB untuk menganjurkan program itu tepat pada masanya terutama ketika dunia sedang berhadapan dengan masalah ekoran kadar peningkatan populasi yang mendadak.

"Pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh pakar, penggubal dasar dan para cendekiawan untuk mencari kaedah terbaik bagi mengecapi keseimbangan antara jaminan sumber tenaga yang berterusan, kemampuan masyarakat untuk menampung kos tenaga serta keperluan untuk menjaga kelestarian alam sekitar.

"Sehubungan itu, penetapan kerangka pembangunan dan hala tuju tenaga lestari yang bertepatan dengan pembanguan Sabah adalah amat penting bagi memastikan pembangunan di negeri holistik serta seiring dengan perkembangan negara maju dunia," jelasnya.

Menurutnya pelaksanaan inisiatif pembangunan tenaga lestari terutamanya tenaga boleh diperbaharui merupakan sebahagian daripada hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan paradigma ke arah mencapai agenda pertumbuhan hijau, iaitu pertumbuhan yang menggunakan sumber secara cekap, bersih dan berdaya tahan.

-- BERNAMA