Kota Marudu Member of Parliament

Malaysia Sedia Capai Bekalan Kuasa Hidro 10-11 Peratus Menjelang 2020 - Maximus

CAMERON HIGHLAND, 10 Feb (Bernama) -- Malaysia berada kedudukan yang betul dalam usahanya untuk mencapai antara 10 hingga 11 peratus komposisi bekalan kuasa hidroelektrik menjelang tahun 2020, dengan itu mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata keyakinan itu berdasarkan pada pelaburan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM4.2 bilion dalam dua stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Jelai, Pahang (RM2.4 bilion) dan di Hulu Terengganu, Terengganu (RM1.8 bilion).

Secara keseluruhan, kedua-duanya akan membekalkan 622 megawatt kuasa.

"Rancangan kita adalah menjelang tahun 2020, perlu ada sekurang-kurangnya antara 10-11 peratus keupayaan penjanaan kuasa hidro dalam negara, daripada enam peratus pada masa ini," katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke projek Hidroelektrik Ulu Jelai di sini Isnin.

Turut hadir ialah Presiden TNB dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Naib Presiden bagi perniagaan baru dan projek-projek utama, Datuk Ir Mohd Nazri Shahruddin.

Maximus berkata TNB juga kini dalam perbincangan untuk membina tiga lagi stesen hidroelektrik untuk mengembangkan lagi sumbangan daripada penjanaan tenaga lestari dan mengurangkan kebergantungan bahan api fosil, yang terdedah kepada harga pasaran global yang tidak menentu.

"Kita akan terus berusaha untuk tenaga jenis ini yang bersifat mesra alam, lestari dan sumber tenaga boleh diperbaharu pada tahun-tahun yang akan datang, seperti yang kita rancang untuk jaminan tenaga kita," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan pembinaan empangan Hidroelektik Ulu Jelai, Maximus berkata setakat ini ia mencapai hampir 50 peratus siap dan beliau berpuas hati dengan kemajuan projek tersebut.

"Kita yakin projek ini akan disiap pada masa yang ditetapkan. Projek TNB ini juga melibatkan penempatan semula masyarakat Orang Asli iaitu sebanyak 84 keluarga melalui pendekatan rundingan memandangkan ia juga satu aspek yang mencabar," katanya.

Bagaimanapun katanya, TNB memberi perhatian dan bantuan segera bagi membolehkan penempatan semula masyarakat Orang Asli dari tiga perkampungan iaitu Kampung Susu, Kampung Tiat dan Kampung Pinang, dapat dilaksanakan secara teratur di kawasan berhampiran lokasi projek tersebut.

Beliau berkata TNB memperuntukkan RM55.5 juta untuk menjaga kepentingan Orang Asli di situ dan daripada jumlah itu sebanyak RM28.4 juta digunakan untuk skim penempatan semula manakala RM17.2 juta pula bagi pembayaran pampasan.

"TNB juga memperuntukkan RM7 juta daripada jumlah itu bagi projek bekalan elektrik ke kawasan penempatan semula mereka malah kebanyakan mereka juga telah diambil bekerja oleh syarikat kontraktor pembinaan empangan ini dan sesetengah telah menjadi tenaga kerja TNB," katanya.

Beliau memuji langkah TNB yang menyediakan peruntukan untuk pembayaran pampasan serta penempatan semula komuniti Orang Asli terlibat dan ia perlu menjadi modul kepada projek lain pada masa depan.