Kota Marudu Member of Parliament

Ongkili saran lebih banyak mini RTC diwujudkan di Sabah

KOTA MARUDU: Kerajaan disaran mewujudkan lebih banyak mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Sabah sebagai landasan membawa transformasi ekonomi dan pembangunan sosial kepada rakyat negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ia bukan sahaja pusat sumber informasi tetapi sebagai usaha membawa pembangunan dengan lebih dekat kepada masyarakat luar bandar dalam bidang pendidikan, latihan, keusahawanan dan pembangunan kemahiran belia.

Justeru, beliau menyarankan supaya pihak berkaitan membina lebih dua mini RTC di setiap kawasan Parlimen memandangkan ada kawasan terlalu luas dan mempunyai dua daerah. Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mini RTC Kampung Pinatau di sini, hari ini. Mini RTC ke-19 di Sabah itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk kampung berkenaan.

Ongkili berharap penduduk setempat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat termasuk menyertai program komuniti serta kursus kemahiran yang disediakan di mini RTC itu. Beliau juga mahu maklumat mengenai mini RTC di kampung tersebut disebarkan kepada penduduk setempat agar mereka mengetahui kewujudan pusat berkenaan dan kemudahan serta pelbagai program yang dilaksanakan. Pada majlis sama, Ongkili turut merasmikan Karnival Usahawan dan Pendidikan MARA anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah.

Sumber - New Sabah Times & Harian Ekspres