Kota Marudu Member of Parliament

24,709 PATI dihantar pulang sehingga Okt, kata Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Sebanyak 24,709 pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini dihantar pulang ke negara asal mereka dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19,286 orang adalah warga Filipina, 5,218 warga Indonesia dan selebihnya dari negara-negara lain.

Beliau berkata jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa sepanjang tempoh itu ialah lebih 148, 000 orang melalui operasi-operasi bersepadu yang dilaksanakan pasukan keselamatan.

“Saya sebagai Menteri Dalam Negeri akan memastikan bahawa Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-30 di SM Kian Kok Likas, di sini, kelmarin.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengeluarkan kewarganegaraan dengan mudah kepada warga asing.

Katanya, selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin diumumkan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) mengadakan operasi bersepadu hampir setiap hari dan akan terus mempertingkatkan operasi memburu PATI di negeri ini.

Terdahulu itu Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika menyampaikan ucapan dasar berkata, isu PATI yang berhubung kait dengan keselamatan dan kedaulatan Sabah dan Malaysia masih berterusan.

“Jawatankuasa Teknikal mengenai RCI pendatang tanpa izin di Sabah yang diketuai oleh saya sendiri akan terus memastikan segala cadangan penambahbaikan proses dan langkah menangani masalahPATI diambil kira dan diimplementasikan oleh kerajaan.

“Antara syor-syor jawatankuasa teknikal itu ialah berkaitan cadangan salah laku dalam pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada warga asing.

“Ini termasuk seruan-seruan untuk mengeluarkan semula kad pengenalan Malaysia di Sabah agar memastikan hanya mereka yang sah warganegara memegang dokumen ini,” katanya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata syor itu sekaligus membersihkan daftar kewarganegaraan dan daftar pemilih di Sabah daripada dicabuli orang asing seperti PATI yang telah mengeksploitasikan proses pemilihan dengan bantuan sindiket dan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita menyeru agar syor-syor Jawatankuasa Teknikal berkenaan dengan RCI dapat dilaksanakan dengan segera dan serius oleh kerajaan,” katanya.

 

Sumber - New Sabah Times