Kota Marudu Member of Parliament

Maximus: Tarif elektrik kekal

PUTRAJAYA - Para pengguna di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati kadar tarif elektrik pada 38.53 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) manakala di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 33.32 sen/kWj, berkuat kuasa pada 1 Januari sehingga Jun tahun depan.

Bagaimanapun, bagi tempoh sama, pemberian rebat tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 1.52 sen kWj berbanding 2.25 sen kWj yang dinikmati pada Julai sehingga Disember ini.

Pengguna Sabah dan Labuan akan terus menikmati penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen kWj.

Ketika mengumumkannya hari ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, rebat dan penurunan tarif itu akan diberikan kepada semua kategori pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah serta Labuan, kecuali pengguna domestik dengan kadar penggunaan elektrik sebanyak 300 kWj dan ke bawah, sebulan.

Ia berikutan kenaikan tarif elektrik tidak melibatkan kategori pengguna berkenaan sejak 1 Januari 2014.

"Perkara ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri. Keputusan bagi Semenanjung Malaysia dibuat berikutan terdapat penjimatan kos bahan api dan penjanaan ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) sebanyak RM762.03 juta bagi tempoh Julai sehingga Disember tahun ini," katanya pada sidang media di sini.

Menurut Maximus, penjimatan itu hasil penurunan harga gas cecair asli (LNG) di pasaran dunia serta peningkatan kecekapan loji-loji janakuasa gas dan arang batu.

"Walaupun kenaikan harga arang batu susulan kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing serta (langkah) rasionalisasi subsidi bahan api untuk sektor elektrik akibat kenaikan harga gas berpaip di Semenanjung Malaysia, namun kerajaan masih mampu mengekalkan purata kadar tarif elektrik semasa pada 38.53 sen kWj," katanya.

Harga gas berpaip di Semenanjung Malaysia naik sebanyak RM1.50/MMBtu (daripada RM16.70 MMBtu kepada RM18.20 MMBtu).

ICPT dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada Januari 2014 sebagai satu mekanisme bagi membenarkan sebarang perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan yang dilepaskan kepada pengguna.

Bagi Sabah dan Labuan yang tidak menggunakan ICPT, Ongkili berkata keputusan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik adalah berikutan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, penjimatan dalam pemberian subsidi bahan api 'Medium Fuel Oil' (MFO) dan diesel, membolehkan kerajaan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen kWj seperti enam bulan terdahulu.

"Keseluruhan subsidi bahan api Sabah dan Labuan dianggarkan berjumlah RM468 juta bagi tahun 2016," katanya.

Maximus turut menegaskan, rebat dan penurunan tarif itu tidak memberi implikasi terhadap kedudukan kewangan atau operasi TNB dan SESB kerana sumber pelaksanaannya adalah hasil penjimatan kos ICPT dan subsidi kerajaan.

Malah, katanya, antara langkah perlindungan pengguna dalam usaha rasionalisasi subsidi harga gas berpaip termasuk pengguna domestik dengan unit penggunaan 300 kWj dan ke bawah yang tidak terlibat dengan sebarang kenaikan tarif, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan caj galakan 'Feed-in Tariff' (FiT).

Beliau berkata pengguna komersial dan industri dengan kos elektrik sekurang-kurangnya lima peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat, layak menikmati Tarif Industri Khas (TIK) dengan diskaun antara 3-10 peratus.

"Program pengecualian bayaran bil elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah turut diberikan kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

 

Sumber - Bernama