Kota Marudu Member of Parliament

Kerajaan pusat, Johor rancang laksana PAMIM

KOTA TINGGI - Kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor merancang melaksanakan Projek Pemindahan Air Mentah Iskandar Malaysia (PAMIM) bagi memenuhi permintaan air mentah di negeri ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata projek berkenaan merupakan pelan jangka panjang dalam mengatasi kekurangan bekalan air khususnya di Johor Bahru.

"Kajian terperinci akan mula dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan kerajaan pusat membiayai sepenuhnya projek itu menerusi peruntukan sebanyak setengah bilion (ringgit)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan Baraj Sungai Johor di Taman Kota Intan, di sini, hari ini.

Ongkili berkata projek berkenaan akan melibatkan pembinaan sebuah empangan baharu iaitu, Empangan Ulu Sedili Besar, di sini dan air mentah akan dipindahkan dari Sungai Sedili esar ke Sungai Johor, Empangan Layang dan Loji Rawatan Air Sultan Iskandar.

Beliau berkata memandangkan keperluan sumber air yang mendesak, maka, kerajaan pusat meminta kerajaan negeri Johor supaya mengemukakan kertas cadangan mengenai projek itu secepat mungkin.

Katanya kerja-kerja projek itu juga akan dilaksanakan dan disiapkan di bawah RMK-11.

Sementara itu, mengenai projek pembinaan baraj Sungai Johor, Ongkili berkata ia dapat digunakan secara manual pada Mac depan sekali gus dilihat mampu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

Beliau berkata, projek bernilai RM96 juta itu kini sudah siap hampir 77 peratus.

"Projek itu  bertujuan mengawal kemasukan air masin ke Sungai Johor pada musim kemarau.

"Ia dijangka dapat mengurangkan penerobosan air masin sekali gus meningkatkan takungan air bersih Sungai Johor sehingga 550 juta liter sehari," katanya.

 

Sumber - Sinar Harian