Kota Marudu Member of Parliament

Manfaatkan pinjaman tanpa faedah bina rumah

KOTA MARUDU 9 Jan. – Kerajaan memperuntukkan RM20 juta sebagai pinjaman tanpa faedah bagi rakyat di negeri ini membina rumah panjang. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, untuk itu rakyat khususnya golongan muda seharusnya memanfaatkan peruntukan berkenaan.

“Kita mencadangkan penduduk kampung bersama-sama memohon pinjaman tanpa faedah ini termasuk golongan muda dan mereka yang sudah bekerja.

“Butiran skim itu sedang diperincikan dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek pembinaan Rumah Panjang Kampung Teringai Darat dan Kampung Rondamon, dekat sini hari ini.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu memberitahu, anak-anak muda yang mempunyai pekerjaan stabil dan ingin menetap di rumah panjang perlu mengambil peluang melalui peruntukan berkenaan.

Berhubung pembinaan rumah panjang di Kampung Teringai Darat dan Kampung Rondamon, beliau berkata, para penduduk terlibat dijangka berpindah ke rumah berkenaan tidak lama lagi.

“Projek ini akan siap pertengahan tahun ini bagi menggantikan rumah panjang tradisional menggunakan kayu kepada bangunan separuh konkrit.

“Rumah panjang yang dibina itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menambah baik kediaman penduduk khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

 

Sumber - Utusan