Kota Marudu Member of Parliament

Malaysia, Indonesia Bincang Kerjasama Tenaga

PUTRAJAYA, Jan 21 (Bernama) -- Menteri Tenaga Malaysia dan Indonesia hari ini mengadakan perbincangan berhubung kerjasama tenaga dua hala, termasuk kemungkinan pemeteraian perjanjian usaha sama bidang berkenaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Dr Sudirman Said berkata dalam pertemuan di sini, rakan sejawatannya yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga membincangkan mengenai penubuhan satu jawatankuasa teknikal bagi pelaksanaan projek transmisi tenaga antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia serta antara Tarakan, Kalimantan dan Tawau, Sabah.

Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), perbincangan kedua-dua pihak itu turut membabitkan kerjasama di bawah Grid Tenaga ASEAN, khususnya projek bersama Perusahaan Listrik Negara Indonesia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kabel dasar laut yang menghubungkan Sumtera dengan Melaka.

Perkara lain yang dibangkitkan termasuk cadangan grid antara Tarakan di Kalimantan ke Tawau serta grid Sarawak-Kalimantan Barat.

Buat permulaan, jumlah bekalan tenaga dari Sarawak-Kalimantan itu adalah 20 megawatt (MW) yang akan dipertingkatkan kepada 200MW berdasarkan kapasitinya, kata kenyataan itu.

Sudirman yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, turut mempelawa Ongkili untuk menghadiri Forum Tenaga Bersih Bali pada 10 dan 11 Feb, 2016.

Bersempena kunjungannya itu, Sudirman juga melawat pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari serta TNB.

 

Source - Bernama