UCAPAN DASAR KETUA BAHAGIAN PARTI BERSATU SABAH (PBS) N5 TANDEK DATUK DR. MAXIMUS J. ONGKILI
SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-23 PBS BAHAGIAN N5 TANDEK, 29HB JUN 2008

1. Selamat bertemu dan selamat datang kepada semua Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Wanita serta perwakilan-perwakilan cawangan ke Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian N5 Tandek kali yang ke-23. Kita mempunyai alasan yang begitu baik untuk memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan yang Maha Kuasa di atas pimpinanNya kepada kita sehingga dapat berkumpul untuk bersidang pada tahun ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam persiapan Mesyuarat Bahagian pada tahun ini.

Tuan-tuan/Puan-puan dan semua perwakilan yang dihormati sekalian,

2. Saya percaya semua kita yang ada di tempat ini mampu menarik nafas panjang tanda kesyukuran dan perasaan lega di atas pencapaian kita bersama dalam mengembalikan kerajaan Barisan Nasional untuk memerintah. Saya juga cukup berbangga di atas sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua komponen parti Barisan Nasional pada pilihanraya yang lalu. Oleh itu, dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong komponen Barisan Nasional daripada PBS, UMNO, UPKO, PBRS, SAPP dan MIC yang telah menunjukkan komitmen yang ketara pada waktu kempen dalam pilihanraya yang lalu. Marilah kita meneruskan budaya kerjasama ini dengan baik dan menghapuskan sebarang prasangka yang buruk terhadap satu sama lain. Apa yang penting ialah untuk memperjuangkan bersama kepentingan rakyat Sabah di Kota Marudu dan melakukan pencapaian-pencapaian besar yang boleh mendatangkan faedah bersama.

3. Menyentuh tentang pencapaian kita dalam Pilihanraya Umum dan Negeri yang lalu, majoriti calon Barisan Nasional sebenarnya telah meningkat HAMPIR dua kali ganda daripada pilihanraya sebelumnya. Misalnya, di kawasan ADUN N4 Matunggong, rekod peningkatan undi ketara terhadap calon BN daripada 1,376 ke 2,982 telah dicatat dengan kemenangan di semua Daerah Mengundi. Sementara itu, undi yang diterima di kawasan N5 Tandek juga menunjukkan corak yang sama yakni peningkatan undi yang diterima. ADUN N5 Tandek telah menerima undi majoriti sebanyak 2,237 berbanding dengan angka 1,800 sebelum ini. Dengan keputusan undi menang di kedua-dua kawasan DUN maka calon BN yang bertanding bagi kerusi Parlimen P168 Kota Marudu telah memperolehi majoriti meningkat pada pilihanraya yang lalu sebanyak 4,198 undi berbanding keputusan majoriti undi 3,189 dalam pilihanraya 2004. Kemenangan yang cemerlang ini adalah milik kita bersama. Syabas dan tahniah.

4. Saya yakin bahawa rakyat di Kota Marudu sememangnya secara sedar telah membuat pilihan yang terbaik dan tepat. Oleh itu, selaku wakil rakyat Parlimen yang dipilih, saya sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk bekerja bersama saudara/saudari bagi merealisasikan agenda pembangunan yang kita inginkan dan rancangkan. Perpaduan dan semangat kerjasama yang kukuh ini akan kita jadikan sebagai landasan untuk menunaikan isi kandungan (hasrat) yang telah kita bentangkan kepada para pengundi dan rakyat di kawasan P168 Kota Marudu.

Tuan-tuan/puan-puan yang dihormati sekalian,

5. Sekadar ingatan dan renungan kita bersama, kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, telah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang perlu diberikan perhatian dan tumpuan pembangunan. Oleh sebab itu, pada awal tahun ini YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Sabah Development Corridor (SDC) yang bertujuan untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negeri Sabah, menggalakkan pembangunan wilayah yang seimbang, mengurangkan jurang perbezaan pembangunan bandar dan luar bandar serta mempastikan pengurusan hasil kekayaan negeri yang lebih bijak dan sustainable.

 6. Menerusi pelaksanaan SDC ini, pendapatan perkapita negeri Sabah dijangka akan meningkat sebanyak empat kali ganda menerusi pelaksanaan program-program yang telah dikenalpasti. Dalam jangka masa 18 tahun pelaksanaannya, diunjurkan bahawa 900,000 peluang pekerjaan yang baru akan dapat diwujudkan. Tumpuan pembangunan ini pasti akan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemakmuran yang bakal dinikmati oleh rakyat di kawasan P168 Kota Marudu.

7. Ini sudah tentunya merupakan khabar baik kepada kita semua. Selain daripada itu, kerajaan BN juga telah mengambil langkah untuk melaksanakan secara serius beberapa sasaran yang telah dimasukkan dalam RMK-9. Salah satunya ialah usaha untuk mensifarkan KEMISKINAN TEGAR yang kebanyakannya dicatatkan di Sabah. Usaha ini amat dialu-alukan terutamanya di kawasan Kota Marudu ini yang masih lagi mencatatkan bilangan miskin tegar yang agak tinggi bersama beberapa daerah lain di Sabah seperti Sugut dan Kinabatangan.

8. Dalam usaha untuk memberikan perhatian kepada negeri Sabah, kerajaan BN juga telah mengumumkan beberapa peruntukan khas lain seperti pemberian baru bagi peruntukan khas Ahli Parlimen setelah peruntukan tahun lalu telahpun digunakan sepenuhnya sebelum pilihanraya. Kerajaan Persekutuan juga telah mengumumkan pemberian sebanyak RM400,000 kepada setiap ADUN di Sabah. Saya percaya bahawa, walaupun pemberian-pemberian ini bukanlah yang terbesar tetapi ia pastinya dapat membantu mengurangkan beban kerajaan negeri khususnya. Peruntukan Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak juga telah dinaikkan dua kali ganda jumlahnya daripada sebelumnya.

Saudara/saudari/Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Walaupun kita telah kembali untuk membentuk kerajaan, tidak dinafikan bahawa terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi dan diselesaikan. Sesunggunya perkara ini bukanlah baru. Kerajaan Malaysia pernah mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 80-an dan juga krisis matawang dunia pada tahun 1997. Bagaimanapun kerajaan mampu mengharungi keadaan tersebut dan kembali memperkukuhkan ekonomi dan nilai mata wang ringgit pada waktu itu dengan langkah-langkah progresif.

10. Saya percaya bahawa cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang ini terutamanya dengan kenaikan harga barang akibat daripada kenaikan harga minyak dapat kita tangani dengan sebaiknya. Saya ingin menekankan bahawa apapun langkah yang diambil oleh kerajaan, ia adalah untuk kebaikan Negara ini bukan sahaja pada masa sekarang tetapi pada masa akan datang. Kerajaan sedang berusaha untuk mengenalpasti langkah-langkah baru bagi mengurangkan beban rakyat ekoran daripada kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan harian. Saya amat berharap agar kita semua dapat bekerjasama dan berdiri teguh di belakang kerajaan demi untuk kestabilan dan kekukuhan ekonomi Negara. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

11. Selain daripada cabaran untuk memperkukuhkan ekonomi, kerajaan BN juga menghadapi situasi tentangan politik yang agak berbeza berbanding penggal yang lalu terutamanya daripada Parti Keadilan Rakyat dan penasihatnya Datuk Seri Anuar Ibrahim. Walaupun rakyat telah memilih kerajaan BN namun, penasihat PKR ini masih meneruskan usahanya untuk cuba ‘membeli’ dan mempengaruhi wakil-wakil rakyat BN untuk menyertai beliau. Rakyat Sabah khususnya harus sedar bahawa Datuk Seri Anuar Ibrahim bukanlah pemimpin yang boleh memegang janji. Beliau telah pernah berjanji dahulu tetapi tidak ada satupun daripada janji tersebut yang berjaya ditunaikan. Taktik yang sama digunapakai untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Sabah pada pilihanraya umum kali ini. Saya amat yakin bahawa rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai siapa Anuar Ibrahim sebenarnya. Pendek kata, jangan percaya kepada janji-janji manis pihak pembangkang yang manis di mulut tetapi racun di dalam badan.

12. Tindakan Presiden SAPP baru-baru untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada YAB Perdana Menteri melalui dua wakil parlimennya adalah sesuatu yang amat dikesali. Sebenarnya semua isu yang dibangkitkan oleh SAPP telah lama diperjuangkan oleh PBS sejak penubuhannya 23 tahun yang lepas. Oleh itu, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa PBS amat senyap dalam isu-isu yang diperjuangkan oleh SAPP. Bahkan PBSlah yang mengambil inisiatif awal agar perkara-perkara tersebut diambil tindakan. Memang PBS tidak melalak dan melolong di surat khabar mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan oleh SAPP kerana kita sudahpun mempunyai saluran yang terbaik untuk berbuat demikian. Kita diberikan tempat di Kabinet Persekutuan untuk menjadi suara bukan sahaja kepada ahli PBS tetapi kepada rakyat Sabah amnya. Kita menggunakan pendekatan dan semangat muafakat dalam BN. Semangat muafakat dan saling kerjasama tersebut kita harapkan juga berlaku di semua peringkat hubungan yakni di peringkat dalaman parti mahupun hubungan di antara parti-parti politik BN terutamanya di kawasan P168 Kota Marudu.

Saudara/saudari/Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

13. Saya percaya kita semua tentu sudah menyedari sekarang bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional sahaja yang benar-benar mampu membawa pembangunan yang berfaedah kepada rakyat di Kota Marudu. Keupayaan kerajaan Barisan Nasional dalam merancang dan melaksanakan pembangunan yang berfaedah kepada rakyat telah terbukti. Sesungguhnya sokongan kuat yang telah diberikan oleh para pengundi di Kota Marudu kepada calon BN sama ada pada peringkat parlimen ataupun negeri pada pilihanraya yang lepas telah menyumbang kepada pembentukan semula kerajaan di bawah BN. Kerajaan amatlah menghargai sokongan padu dan berterusan ini. Ini terbukti apabila calon BN bagi kawasan P168 Kota Marudu telah dilantik dan dipercayakan untuk menerajui sebuah kementerian yang cukup besar dan penting iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Kementerian (MOSTI) ini terdiri daripada 23 buah agensi dan jabatan. Di antara agensi utama di bawah kementerian ini ialah SIRIM iaitu sebuah badan yang berperanan untuk mengawal mutu dan piawai barangan sebelum dibenarkan memasuki pasaran tempatan. Bagi memastikan rakyat Kota Marudu turut menikmati hasil daripada kepercayaan kerajaan ini, kita di kawasan P168 Kota Marudu akan terus merancang dan melaksanakan program-program baru untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat di kawasan ini.

14. Pada masa ini kita perlulah mengurangkan permainan politik yang boleh menggugat perpaduan dan kekuatan parti dan mengarahkan tumpuan kita kepada matlamat sebenar iaitu membawa pembangunan kepada rakyat. Sememangnya masih banyak yang perlu kita lakukan di kawasan Kota Marudu dan tempoh lima tahun sebelum pilihanraya yang berikutnya bukanlah satu tempoh masa yang lama. Oleh itu, barisan kepimpinan yang berwawasan, proaktif, ikhlas dan memiliki matlamat yang jelas amatlah diperlukan. Kepimpinan sekarang telah terbukti keikhlasan dan keupayaannya dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat Kota Marudu.

15. Fokus pembangunan kita untuk tempoh lima tahun akan datang adalah tertumpu kepada pencapaian matlamat berikut iaitu untuk membawa daerah Kota Marudu keluar daripada senarai antara daerah termundur di Sabah. Bagi mencapai matlamat berkenaan kita akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara asas iaitu memperkenalkan dan menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat, membangunkan infrastruktur asas di kawasan Kota Marudu dan menarik lebih ramai pelabur-pelabur khususnya pelabur swasta untuk melabur bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang berfaedah kepada rakyat Kota Marudu. Selain itu, selaras dengan dasar kerajaan yang ingin melahirkan lebih ramai usahawan khususnya usahawan bumiputera maka fokus kita ialah untuk menambahkan bilangan usahawan sedia ada. Bagi meningkatkan kualiti modal insan yang terdapat di kawasan Kota Marudu pula, kita akan memberi penekanan kepada program-program pendidikan yang boleh menambah kemahiran dan pengetahuan rakyat.

16. Peranan teknologi amat penting dalam semua aspek kehidupan manusia pada masa kini. Penggunaan teknologi telah membantu kita untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Ledakan teknologi sedang berlaku secara pesat diseluruh dunia. Pelbagai teknologi yang berfaedah kepada manusia dicipta hampir setiap hari. Di Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Australia, penggunaan teknologi dalam pelbagai aktiviti ekonomi, pendidikan, komunikasi, pengeluaran pertanian dan pembuatan merupakan perkara yang lumrah. Di Malaysia, kerajaan turut berusaha untuk menerapkan penggunaan teknologi canggih dalam pelbagai sektor dan industri kerana kerajaan sedar bahawa jika kita ingin bersaing, maka kita perlulah memiliki dan menguasai teknologi terkini. Salah satu objektif penting MOSTI iaitu kementerian di bawah jagaan saya ialah membantu rakyat membangun dan memanipulasikan teknologi moden bagi mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang yang mereka ceburi. Saya ingin menyeru kepada rakyat di kawasan P168 Kota Marudu supaya bersikap terbuka dan berusaha untuk mempelajari, menguasai dan menggunakan teknologi moden dalam pelbagai bidang khususnya yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi mereka seperti perniagaan, pertanian, penternakan, perikanan dan lain-lain. Dalam bidang pertanian misalnya, penggunaan teknologi moden misalnya bijih benih yang berkualiti tinggi, sistem pengurusan ladang yang moden telah membantu para petani untuk memperolehi hasil lebih cepat, meningkatkan pengeluaran dan kualiti tanaman. Ini secara langsung akan membantu meningkatkan pendapatan para petani.

17. Daripada segi pembangunan infrastruktur asas pula, pada masa ini beberapa projek kemudahan insfrastruktur sedang dan akan dilaksanakan misalnya pembinaan dewan serbaguna Kota Marudu yang memakan belanja sebanyak 4 juta ringgit. Selain daripada itu pembinaan dan naiktaraf jalanraya yang akan menghubungkan daerah Kota Marudu dan Ranau akan dimulakan pada bila-bila masa. Bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta, kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk memperbaiki dan meningkatkan keyakinan pelabur swasta dengan mengekalkan polisi-polisi yang mesra pelabur seperti memberikan taraf perintis dan pengecualian cukai, mengurangkan kerenah birokrasi, mengenalpasti zon tertentu untuk dibangunkan dan lain-lain lagi.

18. Untuk melahirkan lebih ramai golongan usahawan bumiputera khususnya, dari masa ke semasa kita akan menjemput agensi-agenis kerajaan dan swasta untuk mengadakan program-program yang berkaitan misalnya ceremah, seminar, kursus-kursus dan roadshows mengenai peluang-peluang perniagaan yang berpotensi untuk diceburi oleh bakal usahawan, selain mendedahkan bakal-bakal usahawan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta misalnya MARA, Bank SME, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUN) dan MOSTI yang boleh memberi pelbagai bentuk bantuan seperti bantuan kewangan, teknikal, nasihat dan perundingan kepada bakal usahawan dan usahawan sedia ada. Saya berharap dengan adanya program-program sedemikian, akan dapat meningkatkan minat dan pengetahuan rakyat untuk menceburi bidang keusahawanan.

19. Isu pendatang tanpa izin (PTI) merupakan salah satu isu yang begitu dekat di hati kita dalam PBS selama ini dan pendirian kita mengenai isu ini tidak pernah pudar atau berubah. Pendekatan yang kita amalkan iaitu secara diplomasi dan perundingan sering disalahanggap oleh beberapa pihak sebagai tidak serius atau tidak komited lagi dalam menangani isu ini. Mereka beranggapan pendekatan secara berkonfrontasi dan memberi tekanan kepada kerajaan dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan berbentuk ugutan dan cemuhan di dalam suratkhabar adalah pendekatan yang terbaik. Pada kesempatan ini suka saya menyatakan bahawa sebagai sebuah parti yang matang dan berpengalaman, barisan kepimpinan PBS tidaklah naif atau jahil. Kita tahu pendekatan yang terbaik ialah satu pendekatan yang bukan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan PTI ini tetapi juga dapat memelihara kestabilan, perpaduan dan keharmonian di kalangan anggota komponen Barisan Nasional dan Kerajaan dan menjaga kebajikan rakyat yang kita wakili. Kita tidak mahu masalah PTI tidak selesai tetapi kita pula berpecah belah dan rakyat yang kita wakili menderita.

20. Oleh itu, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa PBS tidak lupa bahkan semakin komited kepada isu PTI ini. Kita tidak pernah jemu untuk memberi cadangan kepada kerajaan negeri dan pusat mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasalahan ini. PBS amat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat di atas usahanya untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mencari penyelesaian secara serius terhadap permasalahan ini. Kita amat berbangga kerana wakil kita turut dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa ini. Ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha kita selama ini. Kita akan terus memberikan sokongan dan memainkan peranan penting bagi menangani isu ini. PBS akan mengemukakan langkah-langkah spesifik lagi mengenai cara bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat.

Saudara/saudari/Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

21. Sebelum sesuatu perubahan yang positif boleh berlaku, perkara asas yang kita perlu ada ialah kestabilan dan perpaduan yang kukuh. Oleh sebab itu, jentera parti dan ahli-ahli PBS mempunyai peranan yang amat penting untuk mewujudkan dan mengekalkan keharmonian, hubungan baik, toleransi dan kerjasama di kalangan ahli-ahli dan rakan-rakan dalam komponen BN yang lain. Selain itu, kita perlu juga memupuk sikap yang ingin belajar dan menambah ilmu pengetahuan bagi memperbaiki kualiti kepimpinan dan kemahiran-kemahiran kita sendiri.

22. Ini amat perlu memandangkan perubahan dan cabaran-cabaran yang sentiasa berlaku di dunia pada masa kini. Kita tidak boleh menjadi pasif tetapi perlu bersikap dinamik dalam apa juga yang kita lakukan atau ceburi. Tahap persaingan yang semakin tinggi menuntut kita untuk lebih berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada bantuan kerajaan untuk memajukan diri. Dengan adanya sikap yang sedemikian maka barulah kita boleh meningkatkan daya saing bukan sahaja di peringkat daerah, negeri dan negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kitalah peneraju dunia. Masa depan kita terletak di tangan kita. Ayuh, marilah maju ke hadapan dan bertindak mengejar matlamat kemajuan dan kemakmuran dengan usaha gigih, dedikasi dan semangat persaingan yang kental.

BERSATU! BERSATU! BERSATU!